Sebuah Kehilangan

Wednesday 25 December 2013


Pada 22 Disember 2013, aku sekeluarga telah kehilangan seorang insan tersayang. Pada pukul 6.53 pagi, aku menerima panggilan dari adikku di kampung. Hati mula rasa sesuatu apabila mendapat panggilan tersebut. Kedengaran sayu suara adikku saat memberikan salam. Aku cuba bersabar untuk mendengar lanjut kata-katanya.

"Kak Long, poklong dah takde."
"Bila?" tanyaku. Aku berasakan aku cukup tabah tika itu. Tiada setitik air mata pun yang mengalir.
"Pukul 3 pagi tadi. Nanti call la bagitau Abe, Poksu, Imi, Wati," pesan adikku.
"Ok," jawabku sepatah.

Aku terduduk. Lemah rasanya sebab tidak pernah menerima berita kematian keluarga terdekat. Aku call semua orang untuk menyampaikan berita tersebut. Semuanya hanya ucap innalillah dan bertanya bila arwah  meninggal. Mungkin mereka juga seperti aku, terkejut. Selepas itu, barulah mereka call aku semula untuk bertanya lanjut. Aku baring dalam tangisan. Jiwaku kosong tika itu. Aku tak tahu nak buat apa. Lalu kubangkit dan mengambil wuduk untuk membaca Yasin. Belum sempat Yasin kubaca, Wati, sepupuku call. Dia ajak aku balik. Tanpa berfikir panjang, aku terus jawab ok lalu memasukkan sehelai baju kurung dan pakaian kecikku ke dalam beg. Sambil tu, aku call Poksu dan Abe memaklumkan mereka kami nak balik. Tudung kucapai dan kusarungnya. Baru kuteringat yang aku masih berbaju tidur. Tadi aku nak tidur semula selepas solat subuh tika menerima panggilan dari adikku. Lalu aku menukar pakaianku dan memaklumkan kepada Qilah, housemateku aku akan pulang ke kampung.

Aku drive ke Putrajaya untuk pick up sepupuku. Lebih kurang pukul 8.30 pagi, kami bertolak dari Putrajaya. Ktorang berjumpa Imi di Sungai Besi kerana dia pick up Along, anak Abe. Abe tak dapat balik sebab dia perlu standby untuk banjir gelombang kedua di Kuantan. Manakala Poksu pula tak konvoi dengan kami sebab dia on the way dari Skudai nak balik umah di Klang semasa aku call bagitau berita tersebut. Jadi, Poksu bertolak lewat sket dari kami.

Sepanjang perjalanan, aku cuba untuk tidak menangis. Tapi aku tidak kuat. Saat terbayangkan senyuman arwah, gurauan arwah, mata mula berasa panas. Air mata mula bergenang. Aku ingatkan aku kuat, tapi aku terlalu lemah. Aku call adik untuk bertanya bila jenazah akan dikebumikan. Pada mulanya, adik bagitau lepas Zohor. Aku berasa sangat sedih dan terkilan sebab kemungkinan besar aku tak dapat nak melihat arwah untuk kali terakhir. Selepas itu, mak saudaraku call bagitau jenazah akan dikebumikan lepas Asar. Katanya lagi, Abe dapat balik selepas merayu kepada ketuanya. Alhamdulillah, boleh jugak Abe jumpa arwah buat kali terakhir. Sepanjang perjalanan, selang sejam aku akan terima call dari adikku. Mungkin ma yang suruh dia call. Tiap kali call, tiap kali itulah juga pesanan yang sama disampaikan. Bawak keta molek, jangan laju-laju. Namun, ketika di Kuala Lipis, Imi hampir accident. Bukan sekali, tapi dua kali. Kami yang follow di belakangnya hanya mampu melihat dan memanggil namanya tika mendengar brek kereta dibrek mengejut. Nasib baik takde pape yang buruk berlaku.

Lebih kurang pukul 3 petang, kami selamat sampai di rumah arwah. Aku bersalaman dengan Moklong. Betapa tabahnya hati seorang isteri, langsung tidak tumpah air matanya. Tapi di dalam hati, hanya Allah yang Maha Mengetahui. Sekali lagi air mataku tumpah saat tanganku menyelak kain penutup mayat. Aku cuba untuk tidak menangis, tapi aku tak kuat. Aku pandang arwah yang seolah-olah sedang lena tidur. Buat seketika aku hanyut dalam emosiku. Bila tersedar, aku ambik wuduk dan bacakan Yasin untuk arwah. Sambil baca, sambil menangis. Ya Allah, kenapa aku begitu lemah. Aku reda dengan pemergiannya, tapi aku tak mampu untuk menghalang rasa sedihku.

Selepas itu, jenazah dimandikan dan dikafankan. Air mataku tumpah lagi ketika melihat anak-anak arwah mengucup arwah buat kali terakhir. Aku hanya kehilangan bapa saudara, tapi mereka kehilangan seorang abah tempat mereka bergantung. Kalau aku terasa kehilangan, mereka tentu lagi terasa kehilangan. Semoga mereka tabah menghadapi ujian ini. InsyaAllah.

Selesai jenazah dikafankan, aku ke rumah tok saudara yang bersebelahan dengan rumah arwah. Mek, ma dan sepupu-sepupuku ada di situ. Ma cakap, mek tak makan pape pun sejak menerima berita tersebut. Aku tahu mek terkejut kerana arwah sihat walafiat. Namun, ajal maut di tangan Allah. Bila dah sampai masanya, kita tetap akan pergi menghadap Pencipta kita. Mati itu pasti, hidup insyaAllah. Aku pujuk mek untuk makan. Aku ingin suapkan mek, tapi mek tak nak makan. takde selera katanya. Aku tak nak paksa kerana aku faham perasaannya. Mek pasti sedih kerana anak sulungnya telah pergi menghadap Pencipta-Nya. Aku tau mek reda, cuma dia sedih dan terkejut. Semasa jenazah diusungkan ke dalam van jenazah, mek hanya memerhatikan dari jauh. Kulihat mek merenung sayu tika van jenazah bergerak ke tanah perkuburan. Tiada air mata yang mengalir, tapi aku tahu di sebalik mata tua itu, air matanya bergenang. Betapa cekal dan tabahnya hati seorang ibu. Cukup kuat untuk menyembunyikan segala kesedihan dan kehilangannya.

Pada malam itu, Imi, adik, Abe, Poksu pergi tahlil di rumah arwah. Balik dari tahlil, kami berbincang untuk mengadakan tahlil kat rumah mek malam esoknya. Setelah semua setuju, kami berbincang apa yang patut dibuat dan apa yang patut dibeli. Setelah semua disenaraikan, aku tidur dalam kepenatan dan rasa kehilangan. 

Keesokannya, Imi, Abe dan Adik keluar untuk membeli barang-barang yang diperlukan untuk tahlil. Aku, ma dan Ina pula ke pekan Kok Lanas untuk membeli barang dapur. Selepas Zohor, kami mula memasak untuk majlis tahlil pada sebelah malamnya. Ramai sungguh tetamu yang datang, kat ruang tamu penuh, kat beranda pun penuh. Mungkin sebab arwah seorang yang peramah, baik hati, dan murah dengan senyuman. Setiap butir bicaranya, pasti ada senyuman yang terukir. Sungguh, aku bakal merindui senyuman itu. 

Selepas semua tetamu pulang, kami mula mengemas kerana esoknya dah nak bertolak ke Kuala Lumpur. Lebih kurang pukul 1.00 pagi, semuanya selesai. Aku cuba pejamkan mata, tapi entah mengapa mataku terlalu degil untuk lena. Aku masih terbayang senyuman arwah. Tidak redakah aku dengan pemergiannya? Aku tahu, mungkin semua orang akan kata, ala, pakcik je pun, bukannya mak atau ayah. Tapi, lain bagiku yang dibesarkan tanpa kasih sayang seorang ayah. Aku menumpang kasih poklong, abe, poksu. Mereka adalah lelaki-lelaki istimewa dalam hidup aku. Merekalah ayah, merekalah bapa saudara. Terlalu banyak kenangan aku dengan arwah. Setiap kali pulang ke kampung, arwah pasti akan menyambut kepulangan kami. Tidak pernah arwah tidak datang ke rumah apabila kami pulang. Kalau arwah datang ketika aku sedang memasak, arwah pasti akan tnya, Nor masak apa harini. Walaupun arwah dah makan di rumahnya, tapi masih akan menjamah air tanganku, nak merasa masakan anak saudara katanya. Walaupun aku tak pandai memasak, kekadang masin, kekadang tawar, tapi arwah tak pernah mengkritik. Arwah tetap berkata sedap, walaupun aku tahu itu hanyalah sekadar untuk menyedapkan hatiku. Tiap kali raya haji, arwah pasti akan menghantar perut lembu ke rumahku kerana tahu aku sukakannya. Kini, semua tu dah takde bila arwah dijemput oleh Penciptanya. Semua itu kini hanya tinggal kenangan. Dan akan menjadi kenangan terindah dalam hidupku. Segala jasanya tidak akan kulupakan. Aku doakan semoga arwah ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman. Semoga arwah tenang di alam sana.

Jutaan terima kasih kepada yang sudi call untuk bertanya khabar dan mengucapkan takziah. Di saat aku perlukan seseorang untuk meluahkan rasa sedihku, aku terasa keseorangan. Di saat aku ingin berkongsi kehilanganku, aku terasa tiada sesiapa ada untukku. Di saat aku inginkan seseorang menenangkanku, aku keseorangan dalam kesedihan. Aku tak sanggup untuk menangis di hadapan keluargaku, aku tak sanggup untuk meluahkan rasa sedihku kepada keluargaku kerana aku tahu mereka juga sedih dan kehilanganku. Saat itu aku sedar, tak semua orang akan ada bila kita perlukan mereka tapi Allah sentiasa ada bila kita perlukan-Nya. Dia sentiasa ada untuk mendengar segala luahan kita. Terima kasih Ya Allah.

Al-Fatihah untuk arwah poklong. Semoga arwah tenang di sana. InsyaAllah.


Daripada Dia kita datang kepada Dia kita kembali

1 comments:

hartiniyahya said...

takziah along.. semoga arwah ditempatkan di kalangan mereka yg beriman..